Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Phạm Minh Chính yang berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah merakamkan ucapan takziah di atas pemergian mendiang Presiden Tran Duc Luong, dan mengimbau kembali interaksi dengannya terutama semasa Lawatan Negara mendiang ke Negara Brunei Darussalam (NBD) pada tahun 2001.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan penghargaan atas jemputan untuk melawat Viet Nam dan berharap untuk mengadakan lawatan tersebut pada tarikh yang sesuai.
Kedua-dua negara, titah baginda, menikmati perkongsian komprehensif yang berkekalan dalam bidang perdagangan, tenaga dan pertukaran antara rakyat, dan mencadangkan agar kedua-dua pihak mewujudkan sasaran yang bermakna untuk pembangunan selanjutnya dalam bidang kerjasama yang strategik, berpandukan Pelan Tindakan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan minat Viet Nam untuk memperkembangkan perkongsian tenaga, termasuk melalui usaha sama dan pembekalan minyak mentah, dan seterusnya baginda bertitah bahawa terdapat banyak juga peluang untuk memperdalam lagi hubungan ekonomi dalam bidang pertanian, akuakultur dan industri halal.
Kerjasama keselamatan rantaian makanan dan bekalan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua rakyat dan negara, memandangkan ketidaktentuan geopolitik dan geo-ekonomi semasa, dan baginda menzahirkan minat untuk memanfaatkan kepakaran dan amalan terbaik Viet Nam bagi meningkatkan usaha-usaha NBD dalam menangani keselamatan makanan.
Dalam mengakhiri titah, baginda menyatakan bahawa pertukaran antara rakyat dalam di bawah bidang pendidikan dan pertahanan telah mendekatkan rakyat kedua-dua buah negara, dan menjalinkan persahabatan dan persefahaman yang lebih baik.
Hubungan diplomatik di antara NBD dan Republik Sosialis Viet Nam mula terjalin pada 29 Februari 1992, di mana kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan, tenaga dan pendidikan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto